Kambing Goreng Jintan

Koleksi 1001 Resepi Masakan Alyaa Maisarah PTHQ

Carian Resepi

Kambing Goreng Jintan

Kambing Goreng Jintan

Hye Assalamualaikum. Apa khabar semua?

Macam mana korang punya skill memasak? Dah bagus ke belum? Atau masih ada lagi yang korang kena belajar? Kepada adik adik yang baru nak belajar tu...jangan putus asa taw kalau apa yang korang masak tak menjadi sangat. Biasa lah masih baru baru lagi...air tangan tak ada lagi kan. Kalau ada apa apa soalan boleh tanya. Janagan risau saya akan cuba menjawab dengan sebaik mungkin.

Entry yang lepas saya ada bagi tahu serba sedikit tentang capsicum, tomato dan telur kan. Hari ni kita sambung lagi ye beberapa bahan. dan hari ini saya akan cerita sikit tentang cili. Lagipon kalau kita masak memang wajib ada cili kan. Tak kisah la masak apa pon mesti ada cili kan. Lagi lagi kalau orang melayu...kalau nak sedap mesti nak ada rasa pedas pedas sikit.

Pertama sekali ialah cili api. Cili ini kecil dan berbentuk kurang berisi berbanding cili merah atau hijau tetapi bijinya lebih banyak. Walaupun saiznya kecil tetapi rasanya sangat pedas. Apabila tersentuh dengan kulit  boleh menyebabkan rasa pedih dan perit apatah lagi jika terkena mata. Ia juga dikenali sebagai cili Thai kerana ia banyak digunakan dalam masakan Asia Tenggara. Buang bijinya untuk mengurangkan kepedasan.

Kedua ialah cili kering. ia menjadi bahan asas dalam masakan bersambal dan penggunaannya lebih enak dan selamat berbanding cili kisar atau cili boh di pasaraya kerana sudah ditambah dengan bahan pengawet. Bagi mendapatkan lada kering yang lebih enak dan mudah ditumbuk atau dikisar, potong kecil kecil lada kering sebelum direndam atau direbus. Cara ini juga dapat mengasingkan bijinyadaripiada lada.

Yang terakhir ialah cili besar. Walaupun cili hijau dan cili merah dianggap sebagai sayuran, kegunaannya lebih sebagai rempah. Ia dimakan mentah atau dimasak untuk mendapatkan rasa pedasnya yang tertumpu di hujung kulit kerasnya yang mengandungi biji. Ia digunakan sebagai penambah perasa dalam masakan tanpa menambah kalori atau lemak. Ia menjadi sumber vitamin A,C, E dan potassium bergantung pada warna dan variasinya. Okay rasnya itu saja yang dapat saya kongsikan kali ni. kita terus dengan resipi kita hari ini iaitu Kambing Goreng JIntan

Kambing Goreng Jintan
Kambing Goreng Jintan

Bahan A
  • 500 gram daging kambing ( dipotong nipis dan bersihkan)
  • 2 sudu makan serbuk jintan manis ( Ditumbuk dan dibancuh dengan sedikit air)
  • 1 sudu teh lada hitam (ditumbuk dan dibancuh dengan sedikit air)
  • 1 biji tomato (dipotong 4)
  • 1 sudu makan jus limau nipis
  • 2 sudu makan minyak masak
  • air secukupnya
  • garam secukupnya


Bahan B (dihiris)
  • 3 biji cili hijau
  • 1 biji cili merah
  • 3 biji bawang merah
  • 2 ukas bawang ptih
  • 2 inci halia
  • 1 labu bawang besar
  • 1 tangkai daun sup
  • 1 tangkai daun bawang


Cara membuat
1. Panaskan minyak dan tumiskan halia, bawang merah, dan bawang putih sehingga garing
2. Masukkan rempah yang dibancuh. kacau rata
3. Masukkan daging dan air secukupnya bagi merebus daging sehingga lembut.
4. Apabila daging lembut dan air kering, masukkan cili dan bawang yang dihiris. Kemudian kacau rata
5. Masukkan tomato, jus limau, daun sup dan daun bawang.
6. Sedia hidangkan.
, ,