Kerana satu hidangan...
Ayat yang ringkas, tapi membawa sebuah maksud tersirat yang mampu menyentuh hati dan perasaan. Kadang kadang orang terlupa atau memandang remeh sesuatu perkara hanya kerana ianya disangka tidak penting. "Kerana satu hidangan"...inilah yang akan menjadi intisari untuk resipi kita kali ini. Pasti semua terpinga pinga dan pelik. Kenapa dengan ayat ini? Apa kaitan ayat ini dengan resipi? Mengapa ayat ini yang dipilih?
Kerana satu hidangan...hari yang suram kembali ceria.
Ambillah kata kata ini dan semat didalam hati. Tapi kenapa? Okay jawapannya ada dalam cerita ringkas tentang ahmad dan aminah ini.
Ahmad dan aminah merupakan pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga. Sudah menjadi lumrah, bagi mereka yang baru mendirikan rumah tangga pastinya kewangan menjadi perkara utama. Yelah nak membina keluarga yang bahagia, serba serbi haruslah lengkap. Bukan hendak mewah tetapi ianya keperluan yang dapat membawa kepada kebahagiaan. Ahmad merupakan eksekutif di sebuah syarikat kecil. Aminah pula seorang jurujual di pasaraya. Bagi menambah hasil pendapatan, mereka sepakat supaya ahmad membuat kerja tambahan sebagai pemandu uber.
Alhamdulillah apa yang dirancang berjalan dengan baik. Hasil pendapatan tambahan ahmad sebagai pemandu uber agak lumayan. Mereka mampu melengkapkan segala keperluan untuk hidup sebagai suami isteri. Pada kebiasaannya ahmad tidak akan terus pulang ke rumah selepas waktu kerja. Dia akan terus melakukan kerja sebagai pemandu uber. Dan ahmad akan pulang pada lewat malam. Aminah pula, sebagai isteri mithali akan menunggu kepulangan suaminya yang tercinta. Dan pada kebiasaannya aminah akan menyiapkan makanan sebelum ahmad pulang. Mereka akan makan malam bersama sebelum tidur.
Bak kata pepatah, langit tidak selalu cerah. Harapkan cerah hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Hari ini tidak berlalu seperti biasa bagi ahmad. Seolah olah tuhan mahu mengujinya. Hari ini, dia dipanggil oleh majikannya. Teruk dia dimarahi oleh majikannya kerana kesilapan kecil yang tidak disengajakan. Ahmad bertambah tertekan apabila kerjanya di pejabat sangat banyak pada hari itu. Fikirannya bercelaru. Habis kawan kawan sepejabat dimarahinya. Tidak cukup dengan itu, penumpang yang menggunakan perkhidmatan uber nya telah melarikan diri tanpa membayar tambang. Kesabaran ahmad diuji pada hari itu. Seperti kebiasaan, aminah akan menelifon ahmad untuk bertanya pukul berapa ahmad akan pulang. Tetapi, aminah juga dimarahi. Tersentak aminah dek herdikan yang diberi oleh ahmad. Aminah terus meletakkan telifonnya.
Aminah yang sudah mengenali hati budi suaminya tahu yang mood suaminya tidak baik. Aminah seorang yang bijak dan sangat positif. Lantas, aminah terus ke dapur dan memasak masakan kegemaran suaminya dengan harapan hidangan ini dapat menceriakan hari ahmad semula. Dengan berbekalkan hati yang ikhlas, bersama air tangan isteri tercinta...hidangan kegemaran ahmad pun siap terhidang. Tidak lama selepas itu, aminah terdengar bunyi enjin kereta ahmad menandakan suaminya sudah pulang. Ahmad keluar dari kereta dengan muka yang masam. Aminah membukakan pintu rumah untuk suaminya. Bau hidangan kegemaran ahmad terus menusuk ke hidungnya. Ahmad tahu apa yang dimasak oleh isterinya. Dia terus memandang isterinya dan menghadiahkan sebuah senyuman. Begitulah cerita ahmad dan aminah bersama hidangannya. Terkadang, air tangan isteri mampu mengubah hari suaminya. Nak tahu apa hidangan yang dimasak aminah???
Jawapannya ialah asam pedas ayam kegemaran ahmad. Itulah tajuk resipi kita hari ini. Jom belajar memasak asam pedas ayam.
Asam Pedas Ayam
Bahan-bahan
- 1/2 ekor ayam - dipotong kecil
- 1 batang serai -diketok
- Daun kesum
- Sekuntum bunga kantan
- Air asam jawa (50gm asam jawa + secawan air)
- 3 cawan air
- Sedikit lada hitam
- Garam secukup rasa
- Minyak untuk menumis
Bahan kisar
- 35 tangkai cili kering (gunting, rendam dan toskan)
- 7 ulas bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 1 inci kunyit
- 1 inci halia
- Belacan
Cara memasak Asam Pedas Ayam
1. Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan yang dikisar bersama serai sehingga garing.
2. Masukkan ayam , bunga kantan, dan daun kesum. Gaul sebati dan tutup kuali sehingga ayam agak mengecut.
3. Masukkan air asam jawa dan gaul sebati. Masukkan pula garam dan lada hitam. Gaul hingga sebati.
4. Tambahkan air secukupnya.
5. Tutup kuali dan tunggu sehingga ayam empuk serta mendapat kepekatan kuah asam pedas yang ideal.
Sedia dihidang.